Kenyataan Khairul Azwan Harun calon Naib Ketua Pemuda UMNO sempena sambutan Hari Malaysia yang ke-50. Azwanbro menyeru agar bangsa Melayu perlu bijak mempertahankan ketuanan Melayu lebih-lebih lagi negara sekarang berhadapan dengan cabaran yang semakin kompleks :
Sejarah perjuangan tanah Melayu perlulah diketahui oleh semua orang khasnya orang muda. Kerakyatan tidak akan bermakna jika kita tidak tahu asal-usul kita. Sejarah kita adalah pengajaran bagi kita, adalah panduan perjuangan kita.
Generasi muda Melayu perlu mengetahui kepentingan perpaduan, sejarah kejatuhan kerajaan Melayu dan ancaman terhadap ketuanan Melayu yang ada di mana-mana sama ada dari dalam negara, mahupun luar negara.
Lebih-lebih lagi Melayu itu dikaitkan dengan Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia. Maka sudah pasti musuh Melayu, juga adalah musuh Islam yang bersifat sejagat dan senantiasa berusaha menjatuhkan pengaruh Islam.
Cabaran masa depan Melayu yang semakin kompleks memperlihatkan betapa bangsa Melayu perlu bijak dalam mempertahankan ketuanannya. Bermula dengan institusi raja-raja, diikuti dengan kekuatan politik, ekonomi serta tahap intelektualnya.
Jika kita berpadu dalam semua aspek ini, barulah kedaulatan dan ketuanan itu dapat terpelihara selamanya. Namun, apakah generasi muda mempunyai pengetahuan dan kesedaran yang secukupnya dalam semua aspek ini?
Inilah persoalan yang amat membimbangkan kerana orang Melayu sebenarnya masih belum bersedia untuk menerima keadaan seandainya ketuanan mereka hilang sama ada secara langsung atau sebaliknya.
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.” -3:103
Oleh yang demikian, kita tidak boleh lagi menyingkap punca perpecahan dan perbalahan Melayu itu sendiri. Sebaliknya kita sebagai anak muda Melayu yang masih punya kuasa perlu menyusun strategi dan bertindak segera memperbaiki keadaan.
Jika kita terpaksa berkorban demi perpaduan Melayu, maka pengorbanan itu mesti dilakukan. Melayu di Malaysia perlu melihat sedalam-dalamnya rumpun Melayu di negara sekelilingnya.
Namun begitu, kita seharusnya ingat bahawa kejayaan yang dicapai Malaysia pada hari ini tidak lain dan tidak bukan adalah kerana usaha yang dilaksanakan pimpinan negara dari dulu lagi yang bertindak atas dasar yang adil dan saksama tanpa mengira kaum serta berlandaskan gagasan 1Malaysia.Selamat menyambut Hari Malaysia.
Khairul Azwan Harun
www.azwanbro.com
No comments:
Post a Comment