Friday, 6 September 2013

Kenyataan @Azwanbro : Isu Kenaikkan Harga Minyak #OneBro4NKP


ISU KENAIKKAN HARGA MINYAK

YAB Perdana Menteri telah mengumumkan kenaikan harga minyak RON95 sebanyak 20 sen, pada asasnya harga tersebut ditentukan oleh keseimbangan permintaan dan penawaran. Harga akan naik jika ada permintaan bertambah atau penawaran berkurang dan begitulah sebaliknya.

Kenaikan harga kelmarin pasti memberi kesan yang ketara ke atas cara hidup sebahagian besar rakyat Malaysia. Kenaikan ini bertujuan untuk mengurangkan beban negara dan berpunca dari faktor kenaikan harga minyak mentah dunia sehingga menyebabkan faktor kenaikan harga minyak ini diputuskan oleh kerajaan.

Rantaian kenaikan berkenaan pasti akan menjadikan harga barang-barang keperluan turut naik yang mana menjadi bahan tunjang dalam menggerakkan aktiviti ekonomi. Hal ini termasuklah yang melibatkan kos pembuatan dan pemprosesan. 

Sekiranya ini benar berlaku, keadaan yang meruncing dan mendadak ini akan menyebabkan rakyat yang kurang bersedia untuk menghadapinya terbeban. Terutamanya bagi golongan yang berpendapatan rendah seperti petani, buruh dan pengusaha kecil.

Selain daripada kenaikan harga bahan keperluan yang membebankan masyarakat, terdapat kesan kenaikan harga lain kerana melibatkan sumber bahan bakar ini. Antaranya ialah industri perumahan yang mana mengalami kesan tinggi terhadap kenaikan minyak. 

Bebanan kos perkhidmatan juga akan bertambah seperti tambang bas dan teksi kerana keperluan terhadap bahan bakar ini. Pengusaha khususnya golongan yang kurang mampu terpaksa menanggung bebanan kos yang tinggi seperti kenaikan kadar sewa dan cukai yang melampau bagi sesebuah premis perniagaan sehingga ada pemilik restoran yang terpaksa menutup restorannya ekoran daripada kenaikan kadar sewa tapak premis berkenaan. 

Untuk mengurangkan bebanan ini, peniaga pula terpaksa menaikkan harga barang yang dijual. Kesannya, tekanan harga yang tinggi ini terpaksa dihadapi oleh pengguna.

Dalam hal ini saya menyarankan masyarakat mengambil tindakan yang lebih berhemah dan berjimat-cermat dalam perbelanjaan seharian serta mengambil pendekatan yang lebih rasional bagi mengurangkan beban kesan daripada kenaikan harga bahan bakar ini. Tambahan pula, minyak yang sudah sinonim dengan isu kepenggunaan adalah merupakan asas penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Pengurangan subsidi ini perlu diterjemahkan oleh kerajaan dalam bentuk penyaluran dana yang lebih besar bagi membantu meringankan beban rakyat Malaysia. Usaha-usaha berkenaan seharusnya memberi manfaat kepada masyarakat khususnya golongan keterbawahan dan miskin kerana kelompok berkenaan yang akan menghadapi kesulitan besar ketika kenaikan harga bahan bakar ini. 

Kerajaan boleh mengambil pendekatan sepertimana yang disarankan di dalam Al-Quran bagi mengelakkan kesusahan melampau ketika berlakunya sesuatu krisis.

Mekanisma yang sistematik, adil dan lestari perlu diperkenalkan supaya negara mempunyai kekuatan kewangan yang cukup untuk berhadapan dengan kenaikan harga minyak petrol dan diesel pada masa akan datang. Perbelanjaan yang tidak memberi faedah kepada kehidupan rakyat hendaklah dikaji semula. Begitu juga dengan projek pembangunan yang berjumlah jutaan ringgit hendaklah dinilai kembali pelaksanaannya ketika ini supaya kos pembangunan negara dapat digunakan secara optimum.

Kerajaan juga perlu mendengar maklum balas daripada rakyat Malaysia dan memberi tindak balas segera supaya keresahan mereka tidak menambah beban kepada kehidupan yang dilalui pada masa ini. 

Contohnya dengan membuat penyelarasan tarif elektrik, tarif dan kadar-kadar caj perkhidmatan telekomunikasi, air, tambang pengangkutan awam, yuran kesihatan, pendidikan dan perumahan supaya golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana kurang terbeban. Selain itu cadangan untuk mengkaji semula semua bayaran yang dikenakan dalam sektor pengangkutan bagi menghalang kenaikan harga adalah amat wajar dilakukan.

Tindakan memberi potongan harga kepada barang-barang keperluan pengguna agar dijual dalam kadar harga yang berpatutan juga wajar bagi menggalakkan perbelanjaan rakyat. Maka tindakan memperkasakan dasar pertanian perlu digalakkan agar negara berupaya mengeluarkan produk bahan keperluan isi rumah secara aktif hingga mampu menampung permintaan kepada sesuatu bahan. Dengan memastikan pengawalan harga bahan keperluan hasil pengeluaran selari dengan permintaan akhirnya akan memberi kesan kepada kelancaran ekonomi.

Teori ekonomi Ibnu Khaldun pernah menyatakan, untuk meningkatkan perbelanjaan rakyat, maka pengurangan bebanan seperti cukai dan harga minyak perlu dilakukan. Pemberian subsidi daripada kerajaan kepada peniaga sangat penting khususnya golongan yang kurang mampu bagi memastikan mereka tidak menaikkan harga barang dan akhirnya masyarakat akan mudah berbelanja mengikut kadar kemampuan. Manakala bebanan rakyat seperti kadar cukai, harga minyak, dan sebagainya sekiranya berjaya dikurangkan, ia akan menggalakkan lagi rakyat berbelanja atau kita panggil sebagai pendapatan boleh belanja.

Saya yakin bahawa kerajaan akan terus memilih pendekatan berjimat-cermat bagi mengekang kenaikan harga bahan bakar supaya penjimatan kos dapat dilakukan dengan sebaik mungkin di samping memikirkan altenatif lain yang lebih bijak bagi menangai permasalahan ini. Hak dan kebajikan rakyat akan lebih terjamin dengan kesepakatan dan permuafakatan yang dibuat hasil dari penelitian yang jitu.

Kita perlu bersyukur di atas segala rahmat kurniaan Allah s.w.t. yang menjadikan setiap rakyat dapat menikmati kekayaan ini dengan adilnya. Sekiranya pembaziran berlaku hak kehidupan yang lain akan terhalang, kemusnahan dan penindasan akan berterusan. Hal ini mengingatkan saya cerita ketika di zaman Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab’. Ketika itu berlaku kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di Semenanjung Arab antara tahun 17H dan 18H iaitu selama sembilan bulan. Amirul Mukminin telah berusaha bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah ini di samping kecemerlangannya dari sudut pendirian dan sikap.

Sehingga diceritakan pada suatu ketika ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar. 

Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata: “Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan kedua-duanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?”.

Begitulah contoh teladan yang kita boleh ambil sebagai pengajaran. Sekiranya kita berusaha berjimat-cermat dan merasai penderitaan yang lain dengan berusaha membantu dan mencari penyelesaian, mudah-mudahan masalah yang timbul akan terungkai.

Namun perlu diingat bahawa isu ini, kesan dan penderitaan yang melanda masyarakat bukan hanya sekadar untuk menjadi bahan rintihan atas kesempitan dan bebanan yang dilalui lantas mencari jalan untuk saling menyalahi dan menunding jari. Walaupun hakikatnya perancangan dan keputusan ini melibatkan pihak kerajaan, tetapi ada yang lebih berhak dalam menentukan sesuatu perkara yang sebenarnya berada di luar penguasaan kita semua sebagai hamba kepada Maha Pencipta.

Semua golongan dan peringkat perlu mengambil perhatian dalam menangani isu ini agar penyelesaian yang lebih berkesan dapat diperolehi. Merasai, memahami dan menginsafi setiap permasalahan yang berlaku dengan pandangan yang lebih luas dan menyeluruh, mengajak diri untuk mencari kelemahan dan kekurangan diri. Semoga kita semua dapat menikmati kesenangan dan kebahagian kurniaan Allah s.w.t. di muka bumi ini dengan aman, harmoni lagi diberkati.

No comments:

CARI ARTIKEL LAMO

Hok Orang Ramai Baco!

KOLEKSI KATA-KATA MENGARUT!

KOLEKSI KATA-KATA MENGARUT!

SAMPAI BILO NOK TUNGGU PAS TUNAI JANJI?