Tuesday, 22 January 2013

Ibu Tunggal Miskin Anak Lapan Terharu Terima Bantuan.


Dua minggu tidur dalam keadaan pintu rumah hanya beralaskan plastik sedikit pun tidak mengganggu kehidupan seorang ibu tunggal dan lapan orang anaknya yang tinggal di Kampung Wakaf Mek Zainab, di sini.

Walaupun sedar mereka sekeluarga berdepan dengan bahaya kecurian akibat tiada pintu rumah apabila bahagian dapur dihempap sebatang pokok jati besar baru-baru ini namun mereka tiada pilihan.

Nahatul Shima Seman, 43, berkata, kedatangan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) kelmarin ke rumahnya bagaikan satu rahmat apabila rumah tersebut akan dibaiki dan pintunya diganti.

“Bukan tidak mahu baiki dan gantikan pintu tersebut tetapi duit hasil sumbangan jiran tetangga terpaksa digunakan untuk persekolahan anak-anak.

“Lagipun Maik merupakan pihak pertama yang datang memberikan bantuan kepada keluarga kami selepas dua minggu kejadian ini berlaku,” katanya kepada pemberita di sini.

Sebelum itu Nahatul Shima menerima kunjungan daripada Maik yang diwakili oleh Ketua Pegawai Baitulmal dan Pembangunan, Nik Mohamed Noor Nik Ishak dan beberapa orang kakitangan yang lain.

Menurutnya, duit RM2,000 yang diterima itu akan dijadikan modal bagi membuat kuih serta membeli kelengkapan anak-anak.

Dia berkata, berbekalkan kerja menjual kuih muih dengan pendapatan bersih RM20 sehari dia menyara lapan anaknya yang berumur dari empat hingga 23 tahun.

Nahatul Shima berkata, rumah yang diduduki sekarang bukan rumah miliknya dan setiap tahun dia perlu membayar RM300 untuk membayar sewa tapak rumah tersebut.

“Dengan hanya berbekalkan semangat saya terus kuat untuk membesarkan anak-anak yang kebanyakannya masih kecil berseorangan diri,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini dia tidak pernah mendapat sebarang bantuan namun, berharap kali ini akan ada pihak untuk tampil menghulurkan bantuan terutamanya bantuan membaiki sebahagian rumahnya.

“Saya juga berharap ada pihak yang membantu untuk memotong beberapa batang lagi pokok Jati yang berada berhampiran rumah saya, kerana bimbang kejadian sama akan berulang,” katanya. - Sinar Harian

No comments:

CARI ARTIKEL LAMO

Hok Orang Ramai Baco!

KOLEKSI KATA-KATA MENGARUT!

KOLEKSI KATA-KATA MENGARUT!

SAMPAI BILO NOK TUNGGU PAS TUNAI JANJI?