Report polis telah dibuat oleh Dato' Paduka Ibrahim Ali berhubung pendedahan pemilikan tanah Nik Aziz dan isterinya Tuan Sabariah yang bernilai 4 juta.
Justeru itu, penulis beranggapan ini adalah permulaan sahutan oleh Ibrahim Ali kepada Takiyuddin yang mencabar Ibrahim Ali untuk membawa isu kepada pihak berkuasa.
Kemana Nik Aziz yang diam membisu untuk menjawab pertuduhan terhadap beliau? Adakah Takiyuddin ini jelmaan tubuh badan Nik Aziz?
BN dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA) Pasir Mas telah mencapai kata sepakat untuk sama-sama memastikan kemenangan calon bebas yang juga merupakan Presiden PERKASA, Dato Ibrahim Ali di kerusi P22 Parlimen Pasir Mas.
Kata sepakat itu dicapai pada Majlis Penyelarasan BN dan PERKASA Pasir Mas yang diadakan di Pejabat UMNO Bahagian Pasir Mas.
Majlis itu dihadiri oleh Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Dato Hj. Hanafi Mamat, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Che Johan Che Pa dan Presiden PERKASA, Dato Ibrahim Ali. Turut hadir adalah YDP Perkasa Kelantan dan calon BN di DUN dalam parlimen Pasir Mas.
Kesemuanya bersatu bagi memastikan calon PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz tewas di kerusi tersebut. Dato Hj. Hanafi Mamat dalam ucapannya menyeru penyokong-penyokong BN untuk bersatu hati menyokong Dato Ibrahim Ali dan memastikan PAS tersungkur di Pasir Mas.
"Dacing dan bunga raya adalah satu. Pastikan Nik Abduh tewas di Pasir Mas," seru beliau.
Dato Ibrahim Ali dalam ucapannya menyeru rakyat Pasir Mas untuk terus memberi peluang kepadanya berkhidmat demi agama, bangsa dan tanahair setelah sekian lama beliau menabur bakti di sana.
Kerusi Parlimen Pasir Mas bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Dato Ibrahim Ali dan Nik Abduh Nik Abdul Aziz selepas Che Johan Che Pa yang dicalonkan BN tidak menyerahkan borang pencalonan bagi memberi laluan kepada Dato Ibrahim Ali.
Kesepakatan yang dapat dilihat di antara BN dan PERKASA menunjukkan solidariti bersama bagi menjayakan agenda mempertahankan agama, bangsa dan tanah air daripada dikhianati Pakatan Pembangkang.
Rakyat Pasir Mas diseru untuk terus menyokong Tok Him kerana beliau adalah anak tempatan Pasir Mas, manakala Nik Abduh adalah orang luar yang tidak tahu menahu mengenai hal ehwal di Pasir Mas.
Satu sidang media telah diadakan pagi tadi di Pusat Media BN di Kota Bharu. Sidang media tersebut dihadiri Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Dato Seri Mustapa Mohamed, Datuk Zaid dan Datuk Nafi.
Pada sidang media berkenaan, Datuk Seri Mustapa Mohamed telah memaklumkan BN Kelantan melantik Datuk Hassan Harun sebagai Pengarah Pilihanraya Negeri Kelantan.
Datuk Hassan Harun merupakan seorang tokoh yang tidak asing lagi pada BN bagi membantu pilihanraya BN negeri Kelantan dan kedatangan beliau adalah tepat untuk membantu BN dalam PRU13 untuk memastikan kemenangan BN dalam PRU13 di kerusi-kerusi DUN dan kerusi-kerusi parlimen negeri Kelantan.
Datuk Hassan Harun yang dilantik sebagai Pengarah Pilihanraya Negeri Kelantan
Datuk Seri Mustapa Mohamed juga melafazkan syukur dan berpuas hati dengan penamaan calon yang berlangsung semalam.
"Saya bersyukur proses penamaan calon berjalan dengan lancar, tiada kemalangan jiwa bagi semua rakyat Kelantan dan tahniah kepada pihak PDRM. Saya dapat lihat tahun ini adalah berlainan dari segi tatatertib, semakin menaruh keyakinan kepada SPR adalah institusi yang berwibawa untuk menangani pilihanraya tidak seperti tahun-tahun sebelumnya," katanya.
"Semalam kita dapat lihat hasilnya dengan proses penamaan calon berjalan dengan baik. Ini satu perkara yang kita tahu, yang membanggakan kita rakyat Malaysia, malah kita berharap selepas pilihanraya yang ke-13, kita akan matang dan pilhanraya berjalan dengan tenang dan aman. Kita buat keputusan dengan objektif dengan tanpa berdasarkan kepada emosi atau perkara-perkara yang remeh-remeh dan direka," tambah beliau lagi.
Beliau juga berbangga dengan kehadiran penyokong-penyokong BN di semua pusat penamaan calon di seluruh Kelantan kerana kali ini penyokong-penyokong BN mendominasi pusat-pusat penamaan calon mengalahkan jumlah penyokong-penyokong PAS.
Kata beliau, "Saya gembira kerana di semua pusat penamaan calon untuk BN, ada yang nisbah 3:1, 2:1 dan ada yang seimbang. Jadi sesetengah kawasan yang nisbahnya yang begitu tinggi di beberapa kawasan di Kota Bharu menunjukkan ramai yang hadir di pusat penamaan calon, di Bachok dan juga di Pasir Puteh sebagai contoh pun di Jeli sendiri. Saya sebagai pengerusi BN Kelantan berpuas hati kerana orang kita bersemangat dan jelas kepada kita mereka tidak sabar lagi untuk mengundi dan dengan semangat yang tinggi."
Beliau turut memberi pujian kepada gerakan Gelombang Merah yang berjaya menghasilkan satu gelombang rakyat dengan semangat yang begitu hebat.
"Saya nak bagi kredit kepada gerakan Gelombang Merah Pada pengamatan saya, 85% penyokong kita memakai baju merah, 10% memakai baju biru dan 5% yang memakai baju putih atau sebagainya. Rakyat Kelantan khususnya sudah sebati dengan warna merah, jadi apa yang kita lancarkan dua tahun lepas, jelas sekali berkesan. Jadi melambangkan keyakinan yang tinggi bermula pelancaran gelombang merah. Bukan sahaja bilangan yang ramai, tetapi cukup bersemangat sampai hilang suara sesetengah penyokong parti. Jadi wanita dan anak muda bersepakat untuk keluar beramai-ramai. Jadi semangat yang tinggi dan keyakinan yang nampak kepada kita jadi kita jangan alpa."
Beliau mengucapkan tahniah kepada semua bahagian yang telah menggembleng tenaga bagi memastikan jentera BN sentiasa memberikan yang terbaik. Turut diucapkan tahniah adalah kepada bahagian-bahagian di mana ketua-ketua bahagian yang tidak dicalonkan kerana mereka juga berarak bersama calon. Beliau juga gembira kerana calon-calon yang dibariskan BN kali ini tidak mendapat tentangan dalaman, malah diterima umum.
Ditanya wartawan mengenai ahli PAS yang bertanding atas tiket bebas, beliau berkata PAS tidak boleh mendabik dada bahawa mereka tidak ada masalah dalaman. Bagaimanapun, jentera BN diingatkan supaya tidak alpa dan "over-confident".
Ditanya mengenai PAS dan DAP, beliau berkata gabungan PAS dan DAP adalah semata-mata untuk politik dan bukan untuk Islam.
"PAS dan DAP ini satu perkahwinan yang 'marriage convenience' semata-mata untuk politik, bukan untuk Islam. Islam dipergunakan sebagai platform untuk bergabung dengan DAP. Kita tahu bahawa DAP tetap menunjukkan belang dan saya berharap agar rakyat Kelantan akan membuat penilaian. Bagi saya kemenangan PAS adalah kemenangan bagi DAP. Dulu DAP tidak berpengaruh kerana orang PAS tidak sokong DAP, dan sekarang mereka menyokong DAP. Setiap undi yang PAS berikan kepada kita rakyat Kelantan, maka kuatlah lagi DAP dimana-mana jua DAP bertanding Ipoh, Seremban, Kuala Lumpur dimana kekuatan DAP bertambah kuat oleh kerana adanya orang melayu menyokong DAP. Setiap undi bagi PAS di Kelantan adalah undi untuk DAP," kata beliau.
Kerusi Parlimen P22 Pasir Mas bakal menyaksikan pertembungan satu sama satu antara calon Bebas, Datuk Ibrahim Ali dengan calon Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.
Che Johan Che Pa, calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi tersebut tidak menyerahkan borang pencalonanan calon biarpun hadir di situ pagi ini dan seterusnya memberi laluan kepada Datuk Ibrahim Ali untuk menentang Nik Abduh.
Ini sekaligus menolak kemungkinan berlakunya pertandingan tiga penjuru di parlimen tersebut selepas Datuk Ibrahim Ali sebelum ini mengumumkan untuk bertanding atas tiket bebas dan dalam masa yang sama menyokong Barisan Nasional.
Sewajarnya Che Johan Che Pa diberikan pujian kerana sanggup berkorban demi memberi laluan kepada anak jati Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali agar PAS dapat ditumbangkan dengan lebih mudah di parlimen tersebut.
Pusat penamaan calon di Pasir Mas dihadiri lebih 6000 penyokong Barisan Nasional walaupun calon dari BN tidak menyerahkan borang pencalonan.
Namun, Datuk Ibrahim Ali mendapat sokongan penuh dari penyokong-penyokong BN. Jentera BN dan PERKASA dilihat bersatu hati untuk menumbangkan anak Nik Aziz yang bukan anak jati Pasir Mas.
Kemenangan Datuk Ibrahim Ali di Pasir Mas pastinya dapat memudahkan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan tanahair kerana beliau sememangnya dikenali sebagai pejuang sejati dan disayangi rakyat Pasir Mas.
Rakyat Pasir Mas diseru untuk bersatu hati dan memilih Tok Him yang selama ini telah berjasa kepada rakyat di parlimen tersebut.
Sekarang bukan lagi masa untuk mempertikaikan siapa calon, tetapi ini adalah masa untuk TUKAR KELANTAN!
Saksikan video ringkas yang memetik ucapan Tun Dr. Mahathir di Himpunan Orang Kelate Naik Angin yang diadakan di padang SMK. Tengku Panglima Raja, Lemal, Pasir Mas, Kelantan semalam.
Lebih 20,000 rakyat Kelantan yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat hadir ke perhimpunan tersebut.
Antara petikan menarik ucapan Tun Dr. Mahathir dalam program tersebut adalah "Malangnya apabila kita gunakan sistem demokrasi, yang rakyat berhak memilih kerajaan dan pemimpin mereka, maka timbullah ketamakan manusia, untuk mendapatkan kuasa ini. Mereka memperalatkan agama Islam".
Laporan dan gambar-gambar program tersebut boleh di lihat di sini dan juga di sini.
PASIR MAS - Perhimpunan Orang Kelantan 'Naik Angin' anjuran PERKASA Kelantan yang turut disertai oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohammad dan isteri dihadiri oleh 20,000 rakyat dari seluruh pelusuk negeri Kelantan.
Tun Mahathir Mohammad dalam ucapannya berkata, beliau tidak pernah melihat perhimpunan yang begini besar lebih-lebih lagi di Kelantan dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada penganjur serta seluruh rakyat Kelantan di atas sokongan yang diberikan.
Selain Presiden PERKASA Datuk Sri Ibrahim Ali dan Tun Mahathir Mohammad, program anjuran PERKASA ini turut dihadiri oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan Dato Sri Mustapa Mohammad dan juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, YB Zulkifli Nordin.
Tun Mahathir dalam ucapannya turut mengakui bahawa aura kebangkitan rakyat Kelantan kini semakin dirasai, ia dapat dilihat melalui sambutan yang diberikan oleh rakyat Kelantan terhadap program-program anjuran UMNO dan ia berbeza daripada sebelum ini.
Satu perhimpunan anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Kelantan yang diberi nama Perhimpunan Orang Kelantan Naik Angin telah diadakan petang tadi bertempat di padang SMK. Tengku Panglima Raja, Lemal, Pasir Mas, Kelantan.
Tema perhimpunan tersebut adalah "Rakyat tertekan, bertimbun masalah". Tetamu istimewa pada perhimpunan tersebut adalah negarawan terulung negara, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta isterinya Tun Dr. Siti Hasmah.
Turut hadir ke perhimpunan tersebut adalah Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, YB Dato Ibrahim Ali, Naib Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu, YB Dato Zulkifli Noordin dan Ketua Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Dato Seri Mustapa Mohamed.
Perhimpunan tersebut dihadiri lebih 20,000 rakyat Kelantan yang tidak mahu melepaskan peluang untuk bertemu Tun Dr. Mahathir secara lebih dekat. Sesungguhnya sudah lama rakyat Kelantan menantikan kehadiran Tun Dr. Mahathir ke bumi Kelantan.
Tun Dr. Mahathir disambut meriah dengan penuh tradisi melayu Kelantan. Beliau telah disambut dengan 88 pulut semangat, 88 sireh junjung, 88 bunga dan 500 orang pendikir. Angka 88 memberi simbol kepada umur Tun yang sudah mencecah 88 tahun.
Walaupun umur beliau sudahpun 88 tahun, namun beliau masih lagi sihat dan bersemangat untuk berjuang demi negara. Sehingga sekarang, beliau masih lagi digeruni oleh pembangkang walaupun beliau sudah tidak mempunyai apa-apa jawatan dalam kerajaan.
Sambutan hebat rakyat Kelantan terhadap kunjungan Tun Dr. Mahathir ke Kelantan menunjukkan bahawa rakyat Kelantan sangat menghargai jasa Tun Dr. Mahathir terhadap negara.
Lihat gambar-gambar sekitar perhimpunan tersebut di bawah.