Perwakilan Umno di 14 bahagian di Kelantan harus merebut peluang untuk memilih barisan pemimpin terbaik pada pemilihan parti Sabtu ini, kata Pengerusi Veteran Umno Kelantan Datuk Mohd Rozali Isohak.
Beliau berkata barisan pemimpin yang bakal dipilih untuk tempoh tiga tahun akan datang itu penting dalam persiapan Umno Kelantan menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.
"Pilih pemimpin yang terbaik kerana dalam kalangan mereka ada yang akan menjadi bakal calon PRU14 nanti," katanya kepada sumber.
Beliau berkata perwakilan perlu memilih calon yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang baik seperti berhemah tinggi, berpengalaman, berpendidikan serta bersih daripada rasuah dan penyelewengan kuasa.
Katanya lagi perwakilan juga perlu memilih pemimpin yang mesra rakyat iaitu sentiasa bersama masyarakat di bahagian masing-masing dan mengatasi masalah yang mereka hadapi.
Mohd Rozali yang juga Naib Pengerusi Kanan Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Kelantan turut mengingatkan perwakilan supaya tidak memilih seseorang calon atas dasar kepentingan peribadi kerana ini akan merosakkan parti. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment