Dikhabarkan ADUN Wakaf Bharu, YB Hj. Che Abdullah Mat Nawi yang juga merupakan Exco Kerajaan PAS Negeri Kelantan bakal mengadakan satu sesi ceramah untuk membongkarkan siapakah Ustaz Rujhan Abdul Rahman.
Ustaz Rujhan Abdul Rahman merupakan Pengerusi Biro Agama Nadi Rakyat dan juga mewakili PENDiTA. Beliau kerap kali berceramah di pentas UMNO di seluruh Kelantan. Beliau juga banyak membuat pendedahan mengenai kelemahan-kelemahan yang ada dalam parti pembangkang terutamanya PAS.
Ceramah Ustaz Rujhan kini seringkali mendapat sambutan luar biasa. Baru-baru ini, ceramah PENDiTA di Pengkalan Chepa dihadiri oleh lebih 5000 orang, manakala lebih 3000 orang hadir di Wakaf Bharu.
Ceramah Ustaz Rujhan di Pengkalan Chepa
Ceramah Ustaz Rujhan di Wakaf Bharu
PAS Kelantan sememangnya tidak senang duduk dengan sambutan luar biasa yang diterima UMNO yang juga dibantu oleh kehadiran Ustaz Rujhan.
Barangkali YB Hj. Che Abdullah Mat Nawi tidak menyangka UMNO mampu menarik lebih 3000 rakyat di Wakaf Bharu untuk hadir ke ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Rujhan. Maka tidak hairan jika beliau akan menyerang peribadi Ustaz Rujhan untuk menangkis segala serangan oleh Ustaz Rujhan terhadap PAS Kelantan.
PAS kini dilihat ketandusan isu untuk mendapat sokongan rakyat sehingga terpaksa menyerang peribadi individu tertentu bagi menyemai kebencian dalam diri rakyat. Jika tergugat sekalipun, adalah tidak wajar untuk menyerang peribadi seseorang.
Tindakan menyerang peribadi dilihat sebagai langkah terakhir yang mampu diambil oleh PAS. Tindakan ini menampakkan bahawa PAS sudah mati akal untuk menjawab segala kritikan yang dilontarkan terhadap kepimpinan mereka.
Politik yang dibawa oleh PAS hari ini perlu ditolak oleh rakyat Kelantan!
Ceramah-ceramah anti PAS di seluruh Kelantan semakin mendapat sambutan dari hari ke hari. Jika di sebelah petang semalam 20,000 berhimpun di Perhimpunan Rakyat Kelantan Naik Angin bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad, di sebelah malam pula hampir 2000 orang menghadiri ceramah Minda Pondok dengan kerjasama UMNO Wakaf Bharu.
Ceramah yang diberi tajuk "DAP ikut PAS atau PAS ikut DAP" itu diadakan di perkarangan stesen minyak Shell Wakaf Bharu.
Ceramah turut dihadiri Ketua Cawangan UMNO Wakaf Bharu, Dato Sri Ahmad Sukimi Ibrahim sebagai tuan rumah dan juga Penyelaras DUN Wakaf Bharu, Datuk Hj. Mohd Rosdi.
Datuk Hj. Rosdi sebagai penceramah pertama menyentuh tentang ceramah PAS yang selalu menabur fitnah. Dalam ceramah terakhir PAS di Pasar Wakaf Bharu yang menampilkan 3 orang penceramah, boleh dikatakan lebih 90% isi ceramah adalah fitnah semata-mata. Pada ceramah tersebut, Dato Hj. Rosdi difitnah kononnya beliau kaya semasa menjadi wakil rakyat. Lihat jawapan kepada fitnah tersebut di bawah.
Penceramah kedua adalah Ustaz Azwadi dari Jabatan Penerangan Malaysia. Beliau menyentuh mengenai kejadian di Lahad Datu. Beliau menegaskan bahawa kejadian di Lahad Datu bukannya satu sandiwara sebagaimana yang dikatakan oleh Ahli Parlimen Batu (PKR), YB Tian Chua.
Penceramah utama, Al-Fadhil Ustaz Hj. Mohd Samsul Mohd Yusuff iaitu Al-Hafiz dari Minda Pondok menyentuh soal aqidah umat Islam yang semakin terancam.
Hadirin langsung tidak berganjak dari tapak ceramah sehingga ceramah berakhir. Mereka beristighfar selepas isu aqidah dikupas oleh Ustaz Hj. Mohd Samsul.
Ada yang melaung supaya menolak Nik Aziz dan pemimpin-pemimpin PAS yang lain. Ada juga yang mengutuk Nik Aziz yang dilihat sudah jauh lari dari landasan perjuangan Islam sebenar, malah hari demi hari dilihat semakin memesongkan aqidah umat Islam.
Ceramah itu dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat. Hampir separuh daripada keseluruhan hadirin adalah wanita.
Ceramah itu dilihat sangat berjaya kerana mampu menarik hampir 2000 orang walaupun ada cubaan untuk mensabotaj ceramah tersebut oleh PAS.
Bagi mengalihkan perhatian rakyat khususnya anak-anak muda, PAS mengatur program tayangan skrin besar perlawanan bola sepak Liga Super 2013 yang menemukan Kelantan dan Lions XII dan juga Selangor dan Darul Takzim FC.
Rakyat juga dijanjikan hadiah-hadiah cabutan bertuah berupa hamper, basikal dan lain-lain. Namun, apa yang mengecewakan adalah tayangan skrin besar tidak diadakan sepertimana yang dijanjikan.
Rakyat Kelantan seharusnya bijak menilai pihak mana yang lebih ikhlas untuk memperjuangkan nasib rakyat.
Untuk rekod, pada bulan Februari lepas, lebih 3000 orang hadir di ceramah PENDITA anjuran UMNO Wakaf Bharu di Kampung Kubang Palas, Wakaf Bharu. Ceramah ketika itu disampaikan oleh Pengerusi Biro Agama Nadi Rakyat, Ustaz Rujhan. Lihat gambar-gambar ceramah tersebut di sini.
KOTA BHARU - Bertempat di Dewan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, UMNO Negeri Kelantan telah mengadakan majlis Solat Hajat & Tahlil Wira Sabah bagi mendoakan keselamatan anggota PDRM dan ATM yang sedang bertugas di Sabah serta bacaan tahlil untuk anggota yang terkorban. Majlis solat hajat dan tahlil yang dihadiri sekitar 500 turut membuat kutipan derma untuk disumbangkan kepada keluarga anggota-anggota yang terkorban dalam insiden tersebut. Setelah selesai solat hajat dan majlis tahlil, para jemaah turut diberikan penerangan khas mengenai krisis di Lahad Datu yang disampaikan oleh pegawai PDRM. Al-fatihah buat perwira-perwira kita yang terkorban, jasamu dikenang... Antara foto yang dirakam semalam :
Laungan “gelombang merah” dan “tukar” yang mengajak masyarakat Kelantan menukar kerajaan negeri pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) semakin kuat kedengaran di seluruh pelusuk negeri itu.
Selain bergema pada majlis anjuran badan bukan kerajaan (NGO) pro-Barisan Nasional (BN) dan perhimpunan bersama pemimpin BN, anak Kelantan memanifestasi sokongan mereka terhadap dua slogan itu menerusi pemakaian baju merah.
Slogan ‘gelombang merah’ dicetus UMNO Kelantan manakala ‘tukar’ pula oleh Gerakan Tukar Kelantan (Tukar), sebuah NGO yang mahu rakyat di negeri itu memberi mandat kepada BN pada PRU13.
Gema dua slogan itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika lawatan kedua-dua pemimpin berkenaan ke Kelantan, apabila puluhan ribu rakyat yang menghadiri majlis mereka menyambut laungan “gelombang merah” dan “tukar” secara berselang-seli.
Majoriti penduduk di 45 kawasan dewan undangan negeri (DUN) dan 14 kawasan parlimen Kelantan jelas sudah muak dengan kegagalan kerajaan negeri pimpinan Pas itu menyelesaikan pelbagai isu sekalipun telah mentadbir negeri lebih 22 tahun.
Pelbagai masalah terutama bekalan air bersih, penerokaan hutan konon untuk ladang rakyat dan pemberian tanah kepada syarikat luar membelenggu penduduk Kelantan mendorong mereka berdemonstrasi, termasuk Orang Asli yang selama ini hidup tenteram di kawasan Hulu Kelantan.
Kumpulan Orang Asli itu yang memakai baju merah mempersoalkan tindakan kerajaan negeri menggondolkan kawasan hutan berhampiran perkampungan mereka yang selama ini menjadi punca rezeki.
“Kawasan perkampungan ini adalah yang paling hampir dengan Lojing dan sungai yang mengalir dari kawasan pergunungan ini adalah punca utama penduduk di sini mendapatkan bekalan air minuman.
“Namun kini, air sungai semakin tercemar kerana kegiatan untuk tanah pertanian yang semakin menjadi-jadi. Sekarang ini ikan mati, katak mati, orang pun boleh mati,” kata Alang Terawas, 63, dari masyarakat Orang Asli suku Temiar yang mendiami Kampung Seng Sang di Lojing, Gua Musang, kepada wartawan yang membuat tinjauan di kampungnya baru-baru ini.
Pendedahan bergambar Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (Ombak) mengenai ratusan ribu tanah terutama di Hulu Kelantan yang didakwa digondolkan untuk pembalakan dan ladang pertanian mengejutkan banyak pihak khususnya rakyat di negeri Kelantan sendiri.
Presiden Ombak Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad mendakwa penerokaan tanah itu telah menyebabkan berlaku hakisan dan pencemaran sungai.
Pendedahan demi pendedahan mengenai penerokaan hutan secara berleluasa, terutama di Hulu Kelantan itu menuntut penjelasan daripada kerajaan negeri namun diperlekeh kerajaan Pas sebagai isu lapuk dan kitar semula.
“Kita menuntut ketelusan. Sebuah kerajaan yang diberi amanah oleh rakyat hendaklah telus menjelaskan apa yang berlaku di Hulu Kelantan itu dan isu-isu lain,” kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Muhyiddin ketika berucap di hadapan lebih 30,000 orang pada Himpunan Rakyat 1Malaysia di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan di sini pada 1 Mac lepas, mahu gelombang kebangkitan yang lebih besar berlaku di Kelantan, bagi menunjukkan isyarat kepada kerajaan PAS bahawa rakyat negeri itu mahu menukar mereka dengan kerajaan BN.
Bercakap kepada Bernama, Presiden Tukar Kamaruddin Mohd Kasim berkata pihaknya dan NGO lain tampil menyuarakan rasa tidak puas hati rakyat yang terlibat dengan isu berkenaan, setelah PAS gagal menyelesaikannya.
“Kami percaya apabila NGO dan parti bersatu ia akan menghasilkan kekuatan yang luar biasa untuk membela nasib rakyat yang dianiaya. Jesteru, kita dapat lihat puluhan ribu rakyat terutama golongan muda kini bersama kita dalam program-program yang kita anjurkan,” katanya.
Beliau berkata pihaknya sedang menganjurkan jelajah kembara ke seluruh pelusuk negeri bagi memberi penjelasan lebih mendalam kepada rakyat berhubung isu-isu yang dibangkitkan itu.
Kembara bertemakan “Tukar Adalah Hijrah, Tanah Adalah Maruah” itu bermula 17 Feb lalu sempena Perhimpunan Perdana Anak-Anak Kelantan di Perantauan di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Kamaruddin berkata di samping mendedahkan isu, pihaknya turut member penjelasan mengenai janji-janji BN untuk memajukan Kelantan apabila diberi mandat memerintah negeri itu kelak.
Beliau yakin kemenangan akan memihak kepada usaha yang sedang dilaksanakan untuk menyelamatkan Kelantan daripada terus diperintah oleh Pas, dan rakyat kini kian sedar untuk berhijrah daripada keadaan kurang baik kepada situasi lebih baik untuk masa depan kehidupan mereka.
Bagi Anwar Ibrahim, Manifesto Pakatan Harapan Rakyat yang dilancarkan awal minggu ini dikira akan memberi semangat baru kepada penyokong Pakatan Rakyat (PR) untuk masuk ke gelanggang PRU 13 dengan penuh keyakinan dan bertenaga.
Paling penting Ketua Umum PKR itu mengharapkan segala janji bombastik yang ditabur dalam manifesto rasmi PR tersebut berupaya menenggelamkan fokus khalayak dari terus membicarakan siapa akan menjadi Perdana Menteri sekiranya PR memenangi PRU 13.
Namun harapan hanya sekadar harapan. Manifesto itu tidak hanya menimbulkan pertikaian umum mengenai kemampuan PR untuk menepatinya, malah ia juga mengundang satu lagi masalah besar apabila agenda perlaksanaan hukum hudud tidak mendapat tempat dalam manifesto PR.
Persoalan demi persoalan terus membelenggu minda penyokong PAS, mengapa dan kenapa isu hudud tidak diberi perhatian khusus dalam manifesto PR, sedangkan selama hampir berpuluh tahun lalu isu itulah yang menjadi talian hayat kepada perjuangan PAS.
Tiada guna sebenarnya penyokong PAS menyesakkan kepala mencari jawapannya kerana kenyataannya sudah berada di depan mata. Baru-baru ini Anwar sendiri semasa pertemuan dengan sekumpulan 200 orang pemimpin masyarakat Cina pro DAP dan PKR, telah menegaskan isu perlaksanaan hudud tiada tempat dalam dasar PR.
Malah dalam kenyataan terbaru Anwar juga mengulangi pendirian yang sama apabila memberi jaminan bahawa PR tidak akan melaksanakan undang-undang hudud apabila ia berkuasa dengan alasan mana-mana dasar yang dibuat mesti mematuhi perlembagaan persekutuan dan dipersetujui oleh ketiga-tiga parti.
Para pemimpin PAS yang sudah gelap mata termimpi-mimpikan Putrajaya bersama PR tentu sahaja tidak berani menyanggah pandangan Anwar apatah lagi bila mana Anwar sendiri mengarahkan supaya isu hudud jangan sesekali diungkit apatah lagi dimasukkan dalam manifesto PR.
Tindakan itu dalam konteks kepentingan politik PR memang betul, sementelah lagi Anwar pun tahu isu hudud hanyalah mainan politik PAS sebagaimana diakui oleh Timbalan Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ahmad Baihaki Atiqullah yang menyatakan isu hudud hanya berbaloi dimanipulasikan di negeri yang ramai orang Melayu, jika sebaliknya akan ada backfire dari pengundi bukan Islam.
Anwar tahu majoriti penyokong Cina DAP dan PKR pastinya akan menjarakkan diri dari PR jika isu hudud terus berbangkit. Menyelitkan agenda hudud dalam manifesto bukan sahaja akan bertentangan dengan dasar sekular DAP dan PKR, malah seumpama menggantung tali ke leher sendiri.
Kemudiannya, kenyataan oleh bekas Ketua hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad pada akhir Januari lepas yang menyebut 90% undang-undang Malaysia sudah menepati kehendak syariah, dijadikan pula sebagai alasan tambahan oleh pemimpin PKR dan DAP untuk menyokong pendirian PR menolak agenda perlaksanaan hudud.
Kononnya dengan berbuat demikian, bermakna keseluruhan 100% undang-undang negara ini akan menjadi Islamik dan senario ini dilihat oleh pimpinan PR akan menimbulkan ketakutan penyokong Cina DAP dan PKR, sekaligus merencatkan usaha PR untuk menawan Putrajaya.
Kegagalan PAS memastikan agenda hudud diberi perhatian oleh PR memang agak mengecewakan penyokongnya di peringkat akar umbi. Mereka menjadi malu alah dan kelu lidah untuk berdepan orang ramai bila mana perlaksanaan hudud ditolak dari menjadi agenda rasmi PR.
Memang patut mereka malu, itu pun benar mereka ada perasaan malu. Mereka sepatutnya sedar selama berpuluh tahun isu hudud di jaja ke sana sini oleh PAS nawaitu utamanya hanya untuk kepentingan politik kepartian sahaja.
Jika PAS benar-benar serius sebagaimana kelihatan seriusnya PAS ketika menabur janji dan menjaja isu hudud kepada khalayak, kenapa pula tidak mampu bersungguh-sungguh untuk mempengaruhi sekutu-sekutunya dalam pakatan supaya menjadikan hudud sebagai agenda rasmi dalam Manifesto PR?
Atau pun paling tidak, untuk membuktikan kesungguhan PAS, kaedah lainnya ialah dengan meletakkan calon-calonya bertanding di minima 167 kerusi Parlimen dengan harapan 148 daripada berjaya dimenanginya. Bila keadaan itu berlaku PAS boleh meminda Perlembagaan sekaligus merintis jalan ke arah perlaksanaan hudud. Ada berani?
PAS takkan berani melakukannya kerana nawaitu utama PAS hanya untuk memanipulasi hukum hudud untuk kepentingan politik semata-mata, sebab itu bila ditanya bila hudud akan dilaksanakan di Terengganu semasa PAS memerintah negeri itu dulu, Abdul Hadi Awang memberi jawapan bahawa hudud hanya 0.0001% sahaja dari ajaran Islam.
Nah sekarang, hudud yang 0.0001% itulah yang dulunya di jaja untuk mendapat laba keuntungan politik PAS, kini hudud yang 0.0001% itu jugalah menjadi senjata makan tuan seumpama boomerang tepat ke dahi sendiri. Dengan PAS dan PR sekali akan padam riwayatnya dalam PRU 13 nanti.