Friday, 15 March 2013

#TukarKelantan : Demi Kepentingan Politik Peniaga Cina Diiktiraf , Tetapi Peniaga Melayu??




Para peniaga pasar malam di Parit Dalam, Kota Bharu, Kelantan berharap usaha mereka berniaga di situ lebih daripada 30 tahun diiktiraf oleh kerajaan negeri.


KOTA BHARU - Kira-kira 120 peniaga pasar malam di Parit Dalam berhampiran Pasar Siti Khadijah di sini, mendesak kerajaan Pas Kelantan mengiktiraf perniagaan mereka di kawasan berkenaan sebagaimana pengiktirafan diberikan kepada peniaga Cina di Jalan Kebun Sultan yang diangkat sebagai China Town.

Jalan Kebun Sultan diiktiraf sebagai China Town dan majlis perasmiannya disempurnakan dengan penuh gilang-gemilang oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat Jumaat lalu.

Penasihat Persatuan Peniaga-peniaga Bumiputra Pasar Malam Parit Dalam (PPMPD), Nik Rashid Nik Ismail berkata, kerajaan negeri harus bersikap lebih adil dengan memberikan pengiktirafan sama kepada kawasan perniagaan pasar malam di Parit Dalam yang menempatkan peniaga-peniaga Melayu.

Ujarnya, perniagaan di Jalan Kebun Sultan yang diangkat sebagai China Town baru bertapak tidak sampai 10 tahun jika dibandingkan dengan kewujudan pasar malam di Parit Dalam yang berusia lebih 30 tahun.

"Mengapa China Town sahaja yang diiktiraf? Tindakan kerajaan negeri ini sangat keterlaluan. Ini hanya gimik politik mereka untuk menarik sokongan pengundi Cina terutamanya menjelang pilihan raya tidak lama lagi.

"Demi meraih undi Cina mereka sanggup membiarkan peniaga Melayu yang sudah berpuluh-puluh tahun mencari rezeki di kawasan ini terbiar dan seolah-olah mengemis di tempat sendiri.

"Anak Melayu jelas telah dianaktirikan dengan pengiktirafan China Town ini. Kami mahu pasar malam Parit Dalam juga diberi pengiktirafan yang sama," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Peniaga, Kamarudin Abu Bakar, 45 berkata, kerajaan negeri sepatutnya mengiktiraf kawasan ini dan segera memberi lesen kepada peniaga.
Katanya, peniaga terus dibiarkan berniaga tanpa lesen dan kesannya menyukarkan mereka melakukan urusan pinjaman bank dalam mengembangkan perniagaan.

"Sudah lebih 30 tahun pasar malam ini wujud dan menceriakan pusat bandar ini dengan kehadiran pelancong dan orang ramai. Mengapa di Jalan Kebun Sultan boleh diiktiraf sebagai China Town, sedangkan di kawasan ini hampir seratus peratus peniaganya adalah orang Melayu yang sudah berpuluh-puluh tahun menjalankan perniagaan," katanya.

-UTUSAN-

No comments:

Post a Comment