Monday, 28 January 2013
Kampus Terbaru #UiTM Bakal Dibina di Lundang
Kerajaan Pusat sudah mengenal sebuah kawasan di Lundang sebagai lokasi pembinaan kampus baru bagi menempatkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Kota Bharu.
Ketua Umno Kota Bharu, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, perbincangan lanjut mengenai tapak seluas kira-kira 5.6 hektar itu akan dibuat minggu depan.
“Perbincangan itu untuk mencari kaedah supaya kita boleh memulakan kerja-kerja asas supaya kita dapat buat dengan segera,” katanya kepada media selepas menyampaikan bantuan khas awal persekolahan 2013 kepada ibu bapa dan pelajar Sekolah menengah Kebangsaan Sultan Ismail (SMKSI) di sini, semalam.
Mengulas mengenai tapak sedia ada, Mohamad Fatmi berkata, ia terpulang pada pengurusan universiti itu sama ada untuk mengekalkan atau sebaliknya.
“Saya rasa ia kekal sebab UiTM satu jenama yang cukup popular dan amat diminati pelajar,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Fatmi yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri berkata, perbincangan berhubung projek perumahan rakyat di Kota Bharu juga akan dibuat minggu hadapan bagi membolehkannya memulakan pembinaan secepat mungkin.
“Selama 22 tahun tidak ada projek perumahan di sini, walaupun sebenarnya ia dinantikan rakyat, dan ini berita paling menggembirakan warga Kota Bharu,” katanya demikian ketika mengulas berhubung salah satu daripada tujuh janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya Barisan Nasional diberi mandat mentadbir negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke- 13 (PRU13) nanti.
Menurutnya, untuk peringkat permulaan beliau akan cuba melaksanakan pembinaan 1,000 berbanding 3,000 unit yang diumumkan Perdana Menteri.
Selain pembinaan kampus bandar UiTM dan perumahan rakyat, ia juga akan melibatkan pembinaan lebuh raya Kuala Krai-Kota Bharu, pembinaan stadium baru, dan masjid terbesar, di samping projek mewujudkan sistem pengangkutan Rapid Kota Bharu, serta menyelesaikan masalah air.
No comments:
Post a Comment